HULU SELANGOR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor mengetuai sebarang siasatan berkaitan tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highland, di sini.
Katanya, polis masih menunggu kehadiran pengusaha Fathers’ Organic Farm yang diminta hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Selangor petang ini.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan utama polis adalah menjejaki mangsa yang masih hilang di samping melakukan proses pengecaman mayat.
“Seperti saya cakap sebelum ini, kita bersetuju sementara mangsa ditemukan, kita akan tumpu usaha mencari. Tetapi tidak bermakna siasatan tidak dijalankan.
“Saya mengarahkan OCCI Selangor untuk mengetuai sebarang siasatan berkaitan insiden ini.
“Yang mustahak untuk mengenali identiti mangsa kerana ada masih usaha mengenal pasti identiti mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pengusaha Fathers’ Organic Farm akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung insiden runtuhan itu.
Setakat pukul 5 petang ini, sebanyak 24 daripada 94 individu disahkan maut dengan sembilan lagi masih hilang. – UTUSAN