7 tahun azab di jel Bangladesh kerana emas

7 tahun azab di jel Bangladesh kerana emas

WARIS keluarga mangsa berkumpul di pekarangan Wisma Putra pada penyerahan memorandum berhubung kes warga Malaysia yang dipenjara seumur hidup di Bangladesh. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya rendah diri memohon ihsan kerajaan agar tolonglah bebaskan anak saya. Dia sudah tujuh tahun sengsara,” rayu Siti Fatimah Hanafi dengan penuh sebak.

Wanita berusia 69 tahun itu malahan jelas tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila menitis air mata pilu mengenangkan nasib malang anaknya, Mohd. Azwan Salihin.

Lelaki berkenaan yang kini berusia 28 tahun antara tiga orang warga Malaysia yang dihukum penjara seumur hidup kerana membawa masuk emas ke Bangladesh pada 2015 lalu.

Turut dikenakan penalti berat sama ialah Johari Harun dan Hee Wool Khong dengan mereka bertiga bakal menghabiskan sisa hidup serta meninggal dunia di penjara negara itu.

Anehnya, ramai rakyat negara lain yang melakukan kesalahan sama bahkan berat logam bernilai itu jauh lebih berat pula hanya dikenakan tempoh hukuman penjara cukup ringan.

Kesal dengan sikap dwistandard Bangladesh ke atas rakyat negara ini, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil cuba membantu semua mangsa terbabit.

Hari ini, organisasi tersebut diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim hadir bagi menyerahkan memorandum berhubung isu itu kepada pihak Kementerian Luar.

“Kami bukan cuba campur tangan soal perundangan Bangladesh, tetapi merayu agar diberikan pertimbangan atas dasar perikemanusiaan,” kata beliau ketika ditemui pemberita.

Memorandum tersebut diterima wakil Wisma Putra yang berjanji akan membawa perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka untuk bantu mangsa sewajarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pihak MHO menerima kes itu pada mula setelah dihubungi kakak Mohd. Azwan yang cuma mahu dikenali sebagai Su baru-baru ini.

Mereka sekeluarga cuba pelbagai cara termasuk menghabiskan banyak wang dan tenaga pergi terus ke Bangladesh untuk mengupah peguam bagi membebaskan mangsa.

Malangnya, usaha keluarga yang berasal dari Kedah itu ternyata sia-sia apabila mereka ditipu banyak pihak di negara tersebut yang mengambil kesempatan ke atas warga asing.

Pada masa sama, mereka juga ada meminta pertolongan daripada pejabat misi diplomatik Malaysia di Dhaka dan Unit Konsular Wisma Putra namun maklum balas agak perlahan.

Justeru, Hishamuddin yang bersimpati dengan permasalahan keluarga itu mula mencari jalan dan mendapati ada dua lagi warga Malaysia yang turut menerima nasib buruk serupa.

“Kami juga mohon jasa baik Menteri Luar baharu, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk manfaat saluran diplomatik dan hubungan baik Malaysia dengan Bangladesh,” katanya.

MHO turut akan meminta bantuan wakilnya di negara rantau Asia Selatan itu bagi cuba berunding dengan pelbagai agensi dan mempercepatkan misi pembebasan tiga mangsa ini.

Dalam pada itu, isteri Johari, Maiza Mohd. Nor, 48, yang juga hadir bersama enam anak mereka berkata, beliau sedih mengingatkan azab ditanggung suaminya di penjara sana.

Pasangan itu yang merupakan peniaga pasar malam di Semenyih, Selangor menambah, anak-anaknya terutama yang kembar bongsu amat merindukan bapa mereka selama ini.

Malahan ketika mula dipenjara, kedua-dua anak kecil itu baru berusia tiga tahun dan tidak sempat merasai kasih sayang bapa mereka kecuali menatap dari gambar-gambar lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya