5,494 mangsa banjir dipindahkan di Terengganu - Utusan Malaysia

5,494 mangsa banjir dipindahkan di Terengganu

ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Kepah, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Situasi banjir di Terengganu bertambah buruk dengan peningkatan mendadak jumlah mangsa kepada 5,494 orang daripada 1,627 keluarga setakat 10 malam ini berbanding 1,866 orang daripada 512 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

Ketika ini, Marang pula menjadi daerah terbaharu yang dilanda banjir di Terengganu setelah hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) turut bertambah kepada 103 lokasi di tujuh daerah berbanding hanya 31 PPS di enam daerah petang tadi.

Menurutnya, kebanyakan daerah mencatatkan peningkatan jumlah mangsa dengan Hulu Terengganu menjadi daerah yang paling teruk terjejas ketika ini.

“Di Hulu Terengganu, seramai 2,207 mangsa daripada 732 keluarga kini dipindahkan ke 34 PPS di daerah itu berbanding 461 mangsa daripada 143 keluarga di 12 PPS petang tadi.

“Jumlah mangsa di Besut juga meningkat kepada 1,712 orang daripada 461 keluarga di 40 PPS malam ini berbanding hanya 718 orang daripada 188 keluarga petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau memberitahu, jumlah mangsa di Setiu juga naik mendadak kepada 725 orang daripada 227 keluarga di 11 PPS malam ini berbanding 196 mangsa daripada 67 keluarga di lima PPS petang tadi.

Tambahnya, di Kemaman pula, mangsa meningkat kepada 598 orang daripada 146 keluarga di tujuh PPS berbanding 459 mangsa daripada 107 keluarga di lima PPS sebelum ini.

Sementara itu, katanya, daerah Dungun juga mencatatkan peningkatan kepada 196 mangsa daripada 46 keluarga di sembilan PPS berbanding hanya 19 orang daripada empat keluarga di dua PPS petang tadi.

“Bagaimanapun jumlah mangsa di Kuala Terengganu kekal tidak berubah dengan hanya 13 mangsa daripada tiga keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS.

“Marang pula merekodkan seramai 43 mangsa daripada 12 keluarga di satu PPS yang baru dibuka malam tadi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya