PUTRAJAYA: Seramai 500 anggota dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bakal dihantar bertugas untuk pengawalan sempadan negara pada tahun depan.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mengulas perkembangan projek perintis penugasan kawalan tersebut.
“Buat permulaan ia hanya melibatkan kira-kira 500 petugas dengan kawalan di Perlis, Kelantan, Selangor, Sabah dan Sarawak,” jelasnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau melakukan lawatan julung kali ke Ibu Pejabat Rela di sini dengan turut diiringi Ketua Pengarahnya, Datuk Yahya Sulaiman selepas memeriksa kawalan kehormatan.
Projek pengawalan sempadan itu mula dilaksanakan secara perintis melibatkan hanya 95 anggota dan pegawai sejak November 2020 hasil cetusan idea kepimpinan sebelum ini.
Kesemua petugas tersebut yang akan dihantar kelak mestilah berusia bawah 30 tahun dengan mereka bakal membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia.
Kumpulan ini menjalani kursus di Akademi Latihan Rela di Sungai Udang Melaka selain pusat latihannya di Sungai Petani, Kedah; Kuala Berang, Terengganu dan Tenom, Sabah.
Mengulas lanjut, Saifiuddin berkata, untuk penugasan sempadan, mereka ada keupayaan tambahan termasuk dilatih dalam penggunaan senjata api bagi perlindungan kecemasan.
“Tugasan mereka di sempadan sebenarnya jauh lebih kompleks namun itulah tekad Rela sejajar sejarah dan fungsi kesukarelawanan serta peranan bantu agensi lain,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau amat yakin dengan kemampuan pasukan Rela di sempadan dan memberi jaminan setiap operasi di kawasan terlibat memang disediakan aset lengkap.
Menyentuh isu kadar elaun petugas agensi itu, beliau berkata, setakat ini belum ada lagi keperluan kerana baru sahaja dinaikkan pada 2020 lalu selepas tujuh tahun tidak berubah.
Ketika itu, kenaikan yang ditetapkan kerajaan ialah sebanyak RM2 bagi setiap jam bertugas iaitu masing-masing sejumlah RM7.80 untuk pegawai manakala RM6 untuk anggota.
Peningkatan kadar berkenaan selaras dengan kewajaran semasa dengan mengambil kira keadaan nilai kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar besar.
Rela ditubuhkan pada 1972 lalu di bawah Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 susulan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, untuk memelihara keselamatan dan keamanan negara.
Kekuatan pasukan tersebut dianggarkan lebih sejuta orang, namun setakat ini bilangan yang direkodkan sebagai aktif di lapangan hanya kira-kira 200,000 orang di seluruh negara.
“Kadar elaun bertugas pada masa ini adalah bersesuaian dengan situasi sekarang dan berdasarkan kajian dilakukan tahun lalu, amaun yang diterima dianggap baik,” katanya. –UTUSAN
TAMAT