GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa permit sah semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan kelas C2 itu sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 114 kilometer barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung kira-kira pukul 9.23 pagi semalam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan lima PATI warga Myanmar berumur antara 20 hingga 43 tahun.
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut kira-kira 150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
Sehubungan itu kata beliau, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN