5 kontena e-waste dikesan di Pulau Pinang tahun ini - JAS - Utusan Malaysia

5 kontena e-waste dikesan di Pulau Pinang tahun ini – JAS

SHARIFAH ZAKIAH Syed Sahab (tiga dari kiri) berbual dengan beberapa pengamal media ketika menghadiri Majlis Apresiasi Media sempena sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Pulau Pinang di George Town, malam tadi. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak lima buah kontena mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik atau e-waste yang cuba dilupuskan di negeri ini berjaya dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, empat daripada kontena tersebut telah dihantar pulang ke negara asal iaitu Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS) menerusi notis di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, baki satu lagi kontena masih dalam proses untuk dihantar pulang ke AS dan semua kos penghantaran itu ditanggung oleh ejen-ejen terlibat.

“E-waste ini diimport kerana mengandungi logam berharga yang boleh dikitar semula. Pada masa sama, ia juga mengandungi logam berat (yang berbahaya jika tidak dilupuskan dengan betul).

“Maka, sebab itulah apabila kita hendak lupuskan logam ini, perlu buat di fasiliti yang dilesenkan oleh JAS sebab di situ ada alat kawalan. Untuk ‘set-up’ (tubuhkan) kilang pun perlukan kelulusan EIA (Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar),” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Apresiasi Media sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri di sini malam tadi.

Pada majlis itu, lebih 10 agensi media turut diberikan penghargaan atas kerjasama dalam membuat liputan berita berkaitan isu-isu alam sekitar di negeri ini.

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, kesemua kontena itu dihantar pulang untuk mendidik orang ramai yang mana e-waste tidak boleh diimport sewenang-wenangnya dan ejen terlibat perlu mengetahui barangan yang diimport.

“Sesetengah kes, ada pihak yang isytihar alamat (penghantaran) pun tak betul. Itu yang menyebabkan kontena berkenaan tersadai,” katanya yang memberitahu, rata-rata pemeriksaan terhadap kontena yang mengandungi e-waste itu dilakukan secara rawak buat masa ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan, sehingga Selasa lalu, JAS Pulau Pinang telah menerima sebanyak 888 aduan dengan 339 daripada aduan itu melibatkan kes pembakaran terbuka.

Bagaimanapun katanya, trend aduan pembakaran terbuka tahun ini menurun sebanyak 48 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 710 kes.

“Pada masa sama, sebanyak 502 kompaun yang melibatkan pelbagai kesalahan dengan jumlah kutipan hampir RM1 juta dikeluarkan sepanjang tahun ini selain penyelesaian beberapa kes mahkamah yang berkaitan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya