42 ADUN Pahang angkat sumpah - Utusan Malaysia

42 ADUN Pahang angkat sumpah

42 ADUN Pahang angkat sumpah di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD EAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah jawatan di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin didahului Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selepas Wan Rosdy, 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pula mengangkat sumpah diikuti ADUN Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi daripada 42 kerusi DUN dipertandingkan iaitu jumlah yang sama PN dan lapan PH.

BN dan PH kini bergabung membentuk kerajaan campuran di negeri ini yang mana lapan ADUN BN dan dua PH dilantik sebagai Exco.

Wan Rosdy dalam ucapan penangguhannya mengingatkan kepada semua ADUN sama ada dari blok kerajaan mahupun dari blok pembangkang agar sentiasa berhemah ketika mengemukakan hujah, saling hormat-menghormati, serta tidak bertindak keterlaluan sehingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat serta menunaikan janji serta komitmen yang telah kita zahirkan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Negeri ini perlu dibangunkan atas asas kestabilan politik yang kukuh agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sektor ekonomi negeri dapat dipacu ke arah yang lebih baik.

“Kita perlu bergerak ke hadapan dan sebagai kerajaan negeri, kami akan berusaha sedaya upaya melaksanakan apa yang telah dirancang sebelum ini terutama menerusi Belanjawan 2023 yang sudah pun diluluskan di dewan yang mulia ini pada penggal lalu,” katanya.

Wan Rosdy dalam masa sama turut mengingatkan kepada ADUN blok pembangkang supaya dapat menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaiknya demi memastikan Pahang terus kekal maju dan berdaya saing.

“Marilah kita sama-sama berusaha dan mendoakan agar tempoh lima tahun ini akan menjadi satu penggal yang menyaksikan kebangkitan Pahang menjadi negeri yang stabil, makmur dan harmoni, insyaAllah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya