Oleh KAMARIAH KHALIDI
PUTRAJAYA – Lebih 300 atlet dan 100 persatuan sukan berkongsi maklum balas mengenai isu-isu berkaitan sukan melalui beberapa siri dialog awam bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli sejak 18 Disember lalu.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan berkata, sesi dialog awam yang diadakan sebanyak empat kali secara tertutup itu bertujuan membolehkan para peserta meluahkan pendapat secara terbuka.
Menurut KBS, antara isu yang dibangkitkan menerusi sesi tersebut adalah mengenai kebajikan atlet, khususnya selepas bersara dan selepas kecederaan; akses kepada kemudahan latihan; peluang terhad untuk menyertai pertandingan kompetitif dan keperluan untuk penyelarasan lebih baik antara pelbagai Kementerian.
“Semua sesi diadakan pada 18, 22 dan 23 Disember lalu. Sesi pada 18 Disember dihadiri seramai 140 atlet manakala sesi pada 22 Disember dihadiri seramai 180 atlet. Sesi yang dijalankan pada 22 Disember pada sebelah petang pula dihadiri 91 badan sukan dan sesi pada 23 Disember, dihadiri 15 badan sukan yang mewakili atlet kurang upaya.
“Para atlet yang hadir mewakili pelbagai jenis sukan termasuk olahraga, seni mempertahankan diri, bola sepak, renang dan gimnastik manakala persatuan sukan termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia, Persatuan Sukan Terjun Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, menteri dan timbalan menteri mengambil kira semua maklum balas dan akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan untuk meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakan cadangan tersebut pada masa hadapan. – UTUSAN