30 rumah rosak dibadai ribut - Utusan Malaysia

30 rumah rosak dibadai ribut

ABDUL Rahim Ibrahim (kiri) menunjuk bahagian bumbung rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Paya Berenjut, Chukai, Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Kira-kira 30 buah rumah penduduk di Kampung Paya Berenjut, Chukai, dekat sini mengalami kerosakan akibat dibadai ribut, malam tadi.

Kejadian ribut yang disertai pusaran angin berlaku kira-kira lima minit berlaku kira-kira pukul 11 malam.

Salah seorang penduduk, Siti Aisyah Hasan@Hussin, 32, berkata, dia bersama 10 ahli keluarganya yang sedang berehat dan menonton televisyen terdengar bunyi angin kuat sebelum melihat hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Kami ingatkan bunyi angin belakang rumah, kami cuba intai melalui tingkap. Tiba-tiba tengok, habis semua bumbung dibawa angin.

“Beranda rumah saya juga runtuh sebab angin terlalu kuat disertai hujan. Kami bergegas menyelamatkan ibu dan anak-anak yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Siti Aisyah yang merupakan peniaga gerai makan berkata, dia juga terpaksa membatalkan tempahan sate yang dipesan pelanggannya, hari ini berikutan gerai yang dibina di tepi rumah tersebuy juga turut rosak.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Ibrahim, 28, berkata, hampir keseluruhan bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin.

“Ketika kejadian, saya baru sahaja baring di katil dan mahu melelapkan mata. Tiba-tiba saya terdengar bunyi angin yang sangat kuat dan sekelip mata hampir semua bumbung saya dibawa angin.

“Adik saya hampir tercedera terkena kaca tingkap yang pecah ditiup angin. Mujurlah kami sekeluarga selamat, walaupun keadaan rumah teruk sebab semua perabot dan baju basah ditimpa hujan ekoran bumbung diterbangkan angin,” katanya.

Abdul Rahim berkata, mereka sekeluarga kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudaranya di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja membaik pulih dilakukan segera bagi membantu penduduk terjejas.

“Penduduk yang terlibat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerja-kerja pembaikan dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya