KULIM: Kesemua persediaan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghadapi hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai esok, kini sudah berada di peringkat akhir dan berjalan lancar.
Pengarah SPR Kedah, Aldrina Andu berkata, persediaan di pusat-pusat mengundi yang diwartakan untuk memberi peluang kepada 132,955 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab itu dilakukan sejak beberapa hari lalu.
“Secara keseluruhannya terdapat 230 saluran di 46 pusat mengundi yang akan dibuka kepada pengundi esok bermula pukul 8 pagi sambil dibantu 2,468 petugas SPR untuk melancarkan proses tersebut.
“Sementara itu, Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech yang menjadi lokasi penamaan calon sebelum ini akan menjadi pusat penjumlahan undi rasmi bagi PRU15 Parlimen Padang Serai,” katanya ketika ditemui di sini.
Seramai enam calon disahkan bertembung dalam pilihan raya berkenaan meliputi calon Pakatan Harapan (PH); Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan dan seorang calon bebas.
Bagaimanapun, dua calon iaitu Datuk C. Sivaraj (BN) dan Mohd. Bakhri Hashim (Warisan) mengumumkan sedia memberi laluan kepada calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak ekoran pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan gabungan-gabungan itu.
Namun, tiga lagi calon iaitu Datuk Azman Nasrudin (PN); Hamzah Abd. Rashid (Pejuang) dan Sreanandha Rao (bebas) kekal memberi persaingan dalam PRU15 yang ditangguhkan ekoran kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu.
Sementara, Aldrina menasihati pengundi untuk keluar awal ke pusat mengundi menunaikan tanggungjawab mereka bagi mengelak cuaca buruk seperti yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Saya percaya pengundi di Parlimen Padang Serai sudah memahami perubahan cuaca di kawasan ini sejak beberapa bulan lalu, jadi diharapkan semua urusan berjalan lancar esok,” katanya.
Semalam, MetMalaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir akan berlaku pada hari pengundian Parlimen Padang Serai. – UTUSAN