PUTRAJAYA: Seramai 20,598 pesawah di seluruh negara akan menerima manfaat daripada Bantuan Khas Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bagi tahun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, setiap pesawah menerima bantuan sebanyak RM250 seorang dan buat permulaan ia diagihkan kepada pesawah di tiga negeri dahulu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang membabitkan bantuan sebanyak RM10 juta.
Beliau berkata, pesawah di negeri-negeri lain pula menerima bantuan itu apabila baki bantuan khas Bernas berjumlah RM50 juta disalurkan.
“Pesawah di tiga buah negeri terbabit menerima bantuan khas ini selewat-lewatnya pada 16 Januari ini.
“Kementerian ini dan agensi di bawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar,” katanya.
Pada awal Disember lalu, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyalurkan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara. – UTUSAN