KEMAMAN : Kira-kira 20,000 pengguna di sekitar Kampung Paya Berenjut, Chukai hingga ke Felda Neram, Air Putih mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan kawasan Pencawang Masuk Utama Kemaman di Kampung Fikri dekat sini dinaiki air sejak semalam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, bekalan elektrik di kawasan itu terpaksa diputuskan sementara berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir berlaku.
Menurutnya, penutupan bekalan elektrik tersebut dilakukan demi keselamatan penduduk setempat.
“Difahamkan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja baik pulih dan kira-kira 10,000 pengguna mula mendapat bekalan elektrik secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, TNB juga menempatkan generator di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terjejas.
Tambahnya, dua PPS terjejas itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol.
Jelasnya, hujan lebat ekstrem yang turun sejak pukul 11 malam di sekitar bandar Chukai menyebabkan laluan utama bandar serta beberapa premis kerajaan termasuk Hospital Kemaman, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman turut dinaiki air sehingga 0.2 meter.
“Kebanyakan penduduk di sekitar Chukai, Taman Fikri, Kampung Mak Lagam, Kampung Bukit Kuang berpindah kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Bagaimanapun, keadaan beransur pulih sekitar pukul 9 pagi ini dan saya nasihatkan supaya penduduk sentiasa berjaga-jaga kerana hujan masih berlaku dan air hulu mulai turun ke kawasan bandar,” katanya. – UTUSAN