DUNGUN: Sebanyak 200 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini bersiap sedia untuk dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir pada musim tengkujuh nanti.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, pihaknya telah melakukan segala persiapan rapi termasuk menyediakan kemudahan ruang dewan dan bilik darjah untuk dijadikan tempat tinggal sementara serta kemudahan tandas.
“Kita telah mengadakan mesyuarat di peringkat negeri, daerah dan sekolah supaya setiap sekolah yang dikenal pasti akan dijadikan PPS bersiap sedia untuk menerima mangsa banjir dan kita telah bersedia pada bila-bila masa.
“Kita juga akan benarkan asrama sekolah digunakan untuk kegunaan mangsa banjir sekiranya asrama tersebut tidak berpenghuni ketika banjir melanda,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Murid-Murid Sekolah Rendah Daerah Dungun bersama Hibiscus Petroleum di sini hari ini.
Seramai 300 murid daripada tujuh buah sekolah rendah di daerah ini menyertai kempen tersebut.
Abdul Muie memberitahu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa buah sekolah yang sering ditenggelami banjir di beberapa daerah termasuk Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.
“Kesemua sekolah yang berada di kawasan rendah ini diarahkan bersiap sedia dan menempatkan barang di tempat yang tinggi.
“Sekiranya banjir berlaku ketika sesi persekolahan, kita mempunyai alternatif lain termasuk memberikan cuti peristiwa untuk pelajar manakala untuk guru yang terlibat bencana banjir perlu melapor diri di pejabat pendidikan daerah terdekat atau sekolah berhampiran,” katanya. – UTUSAN