162 kompaun dikeluar dalam Op Tomyam - Utusan Malaysia

162 kompaun dikeluar dalam Op Tomyam

Op Tomyam
PENGUATKUASA MPKS (kiri) sedang memeriksa peralatan peniaga dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak 162 kompaun dan 18 notis dikeluarkan terhadap pengusaha premis makanan di sekitar daerah ini atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi (Op) Tomyam oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam tempoh enam bulan bermula Mei hingga Oktober lalu.

Sepanjang tempoh sama juga, lapan premis diarah tutup 14 hari berikutan tidak mencapai tahap kebersihan memuaskan selain penemuan najis tikus dan lipas.

MPKS dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan dibuat dalam Op Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran dan pejabat kesihatan daerah Kuala Selangor membabitkan 77 premis makanan.

“Pemeriksaan premis makanan ini untuk memastikan tahap kebersihan premis berada pada tahap baik dan keselamatan makanan terjamin.

“Ia juga bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi,” katanya, hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MPKS) 2007.

Katanya lagi, selain itu tindakan di bawah  Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPKS) 2007 dan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikenakan.

“Tindakan terhadap premis tersebut dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan perlu melaksanakan pembersihan segera secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Pemeriksaan seperti ini akan diperluaskan bagi mengekalkan tahap kebersihan yang baik terhadap pengusaha premis makanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya