BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang menerima sebanyak 162 aduan melibatkan kes pengabaian dan penganiayaan terhadap haiwan di negeri itu sepanjang Januari sehingga November tahun ini.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, aduan kes-kes tidak kritikal membabitkan pengabaian terhadap haiwan seperti tali tambatan terlalu pendek dan jerutan pada leher haiwan sehingga mengakibatkan ketidakselesaan.
Aduan lain katanya, seperti penyediaan tempat tinggal haiwan yang tidak sesuai, haiwan sering terdedah kepada panas dan hujan dan lain-lain kesalahan berkaitan.
“Untuk kes kritikal pula lebih kepada perbuatan menganiaya sehingga mendatangkan kecederaan serius atau kematian.
“Perbuatan ini jika disabitkan kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan dan Insentif Pembangunan Projek Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang Tahun 2022, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin.
Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, seramai 51 penternak menerima bantuan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerusi peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tahun ini berjumlah RM1.081 juta.
Jelas beliau, bantuan tersebut meliputi binaan baharu serta naik taraf kandang, reban, premis, peralatan penternakan serta baka ternakan.
“Kerajaan negeri serta agensi kerajaan berkaitan sentiasa menyokong penuh segala dasar serta perancangan di peringkat jabatan yang menyasarkan perkembangan industri pertanian khususnya penternakan di negeri ini.
“Hal ini sangat penting bagi keterjaminan serta keselamatan makanan negeri mencukupi dan memenuhi keperluan semua rakyat,” katanya.
Menurut Norlela, pihaknya turut menyampaikan pengagihan insentif makanan ternakan dan penokok diet bagi 215 penternak ruminan besar dan kecil serta pengagihan insentif makanan ternakan aneka haiwan meliputi penternak rusa, kuda dan arnab melibatkan 57 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28,861.00.
Turut menerima bantuan katanya, 282 penerima berupa pemberian anak ayam dan makanan ternakan di bawah Program Bantuan Rakyat kepada dengan jumlah peruntukan sebanyak RM105,468.00. – UTUSAN