1,220 premis perniagaan kurang bekalan telur ayam, minyak masak, tepung gandum - Utusan Malaysia

1,220 premis perniagaan kurang bekalan telur ayam, minyak masak, tepung gandum

FUZIAH Salleh (dua dari kanan) melaksanakan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 1,220 premis perniagaan di seluruh negara berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam, minyak masak paket dan tepung gandum.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, data berkenaan diperoleh sepanjang pelaksanaan Ops Terjah bermula 16 Disember lalu.

“Data yang diperoleh semasa pelaksanaan Ops Terjah akan dianalisa untuk memastikan masalah kekurangan bekalan berlaku secara menyeluruh atau mengikut lokasi.

“Sebanyak 4,730 premis di seluruh negara diperiksa sepanjang Ops Terjah dan 1,220 premis didapati mempunyai masalah kekurangan bekalan terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di beberapa lokasi di daerah ini di sini hari ini.

Fuziah berkata, melalui dapatan daripada Ops Terjah itu juga, pihaknya akan mengambil langkah perlu untuk memastikan kestabilan bekalan barangan di pasaran.

“Kita juga mahu mengenal pasti kecekapan penyaluran atau pengedaran bekalan dari pengeluar kepada pembekal atau pemborong sebelum sampai kepada peruncit dan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 1,008 premis di seluruh negara diperiksa sepanjang tiga hari pelaksanaan SHMMP Krismas 2022.

Menurut Fuziah lagi, sejak pemantauan dilakukan setakat ini tiada aduan atau kes dihasilkan.

“Pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan sehingga pelaksanaan SHMMP Krismas berakhir pada Selasa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya