PUTRAJAYA: Lebih 120 pelumba tempatan termasuk wakil Thailand, Taiwan, Indonesia dan Singapura bakal berentap pada perlumbaan lasak dua roda, BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 Disember ini.
Turut mengesahkan diri pada perlumbaan itu ialah pelumba sensasi negara, Hafizh Shahrin Abdullah.
Ketua penganjur dan Presiden Kelab Sukan Bermotor BRAAAP, Azuan Izadee berkata, BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 adalah perlumbaan khas untuk jentera kapcai atau moped dan ‘sport bike’ membabitkan150cc – 400cc.
Beliau berkata, secara khusus, enam kategori perlumbaan bakal dipertandingkan di mana masing-masing untuk saingan ‘endurance’ dan perlumbaan ‘sprint’.
“Satu acara tarikan yang akan diadakan adalah acara ‘Tobaki Hotlap’ di mana 150 peserta dari SK13 dan rakan-rakan penaja B2HEndurance akan membuat satu pusingan mengelilingi litar bersama-sama tetamu kehormat.
“Tiada bayaran masuk dikenakan untuk penonton menyaksikan acara ini dari Grandstand Utama,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran edisi kedua perlumbaan itu di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Abd. Aziz Abd. Rahman.
Pada masa sama, Azuan berkata, pihaknya kini sedang merangka pelan penganjuran perlumbaan endurance secara bersiri ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.
Menurutnya, pusingan kemuncak iaitu pusingan akhir akan diadakan pada setiap hujung tahun di Litar Antarabangsa Sepang.
“Oleh itu, saya berharap semoga rancangan ini mendapat kerjasama dan sokongan Kementerian Belia dan Sukan.
“Kami turut berharap rancangan ini dapat mencungkil bakat-bakat baharu belia, bukan sahaja sebagai pelumba, malahan sebagai kumpulan sokongan industri sukan bermotor seperti jurutera, mekanik, marshall dan lain-lain lagi,” katanya.
Sementara itu, Abd Aziz berkata, beliau berharap lebih banyak kelab-kelab sukan bermotor tampil dalam menyokong agenda kerajaan dalam memperhebatkan sukan pemotoran tanah air.
“Kami melihat bakat ditampilkan Hafizh Syahrin dan ramai lagi para pelumba negara memperlihatkan negara mampu mengungguli pentas sukan pemotoran,” katanya. – UTUSAN