11 PATI ditahan ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

11 PATI ditahan ceroboh perairan negara

PATI warga Myanmar yang ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dalam operasi Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi berasingan di perairan negeri itu, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 131 kilometer barat Pulau Kendi, pukul 1.50 tengah hari, Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan enam PATI warga Myanmar.

“Kesemua mereka yang berusia antara 35 hingga 50 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada hari sama juga, tambah beliau, Maritim Malaysia Pulau Pinang turut menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia di kedudukan 35 kilometer Barat Daya Pulau Kendi, kira-kir pukul 7.20 petang ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia dan dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 13 hingga 30 tahun.

“Kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Tambahnya, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

”Kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada dalam memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing,” katanya.

Abdul Razak berkata, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya