107 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

107 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia

ANGGOTA Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah menaikkan bubu naga dalam satu operasi khas di empat lokasi sepanjang perairan Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 107 set bubu naga dalam satu operasi khas di empat lokasi berbeza sepanjang perairan Yan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi  membanteras bubu naga itu dilakukan susulan rungutan dan aduan yang diterima pihaknya. 

“Empat lokasi rampasan bubu naga ini di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.  

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang di beberapa lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bubu naga dirampas anggotanya yang dianggarkan bernilai RM12,840 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia melihat bahawa penggunaan bubu naga ini perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ia dijual dengan harga yang murah. Perkara itu sekali gus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan yang dibuat memandangkan pengguna masih boleh membeli di pasaran semasa.

“Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan,” katanya.

Tambahnya, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited meneruskan operasi serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram.

“Kami juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya