100 kes pelbagai masalah kesihatan dikesan di PPS di Pahang - Utusan Malaysia

100 kes pelbagai masalah kesihatan dikesan di PPS di Pahang

NOOR AZIMI Yunus (dua dari kanan) melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) SK Cherating di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesan 100 kes pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan mangsa banjir negeri ini.

Bagaimanapun hasil ujian saringan terhadap 1,014 mangsa banjir terbabit mendapati tiada dikesan positif Covid-19 sehingga semalam.

Pengarah JKNP, Datuk Noor Azimi Yunus berkata, sebanyak 62 Upper Respiratory Tract Infection, 18 kes penyakit kulit, 15 kes bergejala demam, tiga kes Acute Gastroenteritis dan dua kes Konjuntivitis di kesan dalam kalangan manga banjir.

Katanya, JKNP menyediakan 67 pasukan yang ditugaskan untuk tujuan pencegahan, pemantauan persekitaran dan kawalan penyakit.

“Tiada kes Tifoid, Chickenpox, Kolera, Leptospirosis, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMDI) dan denggi dilaporkan setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating di sini hari ini.

Noor Azimi berkata, sebanyak 95 pasukan sokongan kesihatan mental (MHPSS) disediakan JKNP bagi menangani masalah kesihatan mental di PPS di negeri ini.

Pasukan terbabit katanya, sudah memberikan sokongan psikososial kepada 365 mangsa terjejas banjir dan 29 petugas barisan hadapan sejak beberapa episod banjir di negeri ini sehingga semalam.

“Antara aktiviti psiko sosial diberikan oleh pasukan itu adalah relaksasi, terapi seni dan psiko pendidikan,” katanya.

Sementara, katanya, semua fasiliti kesihatan di negeri ini masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas dengan banjir setakat ini.

Namun, beliau berkata, persediaan awal dan kesiapsiagaan sudah dilaksanakan dengan memastikan set, peralatan dan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan berisiko banjir ditempatkan di lokasi selamat.

“JKNP menyediakan 272 pasukan yang terdiri daripada 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan bagi menghadapi banjir kali ini.

“Pasukan perubatan berperanan memberi rawatan manakala pasukan kesihatan melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Kita menasihatkan orang ramai, terutamanya mereka yang berada di PPS untuk mengambil air minuman dan makanan yang bersih bagi mengelak penyakit bawaan air dan keracunan makanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN