PETALING JAYA: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mempersoal kemampuan wanita untuk menjadi wakil rakyat berkesan didakwa bersifat seksis, sangat prejudis terhadap golongan hawa dan menghina pemimpin-pemimpin wanita.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kenyataan itu sangat mengejutkan dan Mohammad Sanusi sewajarnya segera dan dengan sepenuh hati memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya wanita serta menarik balik kenyataannya.
Jika gagal berbuat demikian, katanya, Menteri Besar Kedah itu wajar meletak jawatan sebagai pemimpin negeri kerana pendiriannya terhadap wanita adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri dan dewan penggubal undang-undang yang beliau adalah sebahagian daripadanya.
“Beliau juga wajar dengan segera memohon maaf kepada seluruh negara. Tidakkah beliau sedar Malaysia sangat memandang tinggi peranan wanita di negara ini sehingga Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan turut dipinda pada Julai 2001 bagi menghalang diskriminasi jantina.
“Apakah beliau lupa Pas juga mempunyai beberapa penggubal undang-undang dalam kalangan wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut meletakkan calon-calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang?
“Selaku Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, adakah beliau bermaksud penggubal undang-undang dari kalangan wanita dalam partinya sendiri adalah mereka yang rendah martabatnya berbanding lelaki dan mereka harus menarik diri dari pilihan raya umum kali ini? Adakah beliau baru keluar dari ‘gua’?,” soal Zuraida dalam kenyataanya.
Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini termasuk di Sik, Kedah menyatakan wanita tidak sesuai menjadi wakil rakyat dan BN yang memiliki ramai calon lelaki tetap memilih wanita sebagai wakil mereka sedangkan tanggungjawab wakil rakyat tidak tentu masanya.
Selain itu, juga tular satu klip video TikTok Muhammad Sanusi berkata dalam satu ceramah politik ‘Kita boleh bayang pukul tiga pagi orang betina bangkit rambut macam mana? Tu nak pergi tolong orang banjir, yang kain batik berselimpang. Dia nak bersiap tubik dari rumah tu tiga jam.’
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, mempersenda bagaimana nanti rupa wakil rakyat wanita atau berapa lama masa akan diambil mereka untuk menghias diri bersiap sebelum dapat melayan rakyat menunjukkan bahawa beliau seperti berada dalam era di mana wanita dilayan sebagai warganegara kelas kedua.
“Adakah beliau lupa bahawa Malaysia sudah melangkah jauh ke hadapan dari era sedemikian sehingga negara kita pernah mempunyai wanita sebagai Timbalan Perdana Menterinya. Beliau juga perlu sedar bahawa Ketua Hakim Negara Malaysia adalah seorang wanita.
“Golongan hawa juga ramai yang memegang jawatan penting, antaranya diberi kepercayaan sebagai Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian dan Naib Canselor di universiti,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sebagai sebuah parti yang memperjuang dan memperkasa hak-hak wanita, PBM amat tersinggung dengan kenyataan Mohammad Sanusi dan menggesa beliau berhenti menghina wanita. – UTUSAN