Zulkifli teruja Saudi benam Argentina

Zulkifli teruja Saudi benam Argentina

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri teruja kisah kejayaan Arab Saudi dalam Piala Dunia Qatar 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketika warganet tempatan lebih kecoh mengenai isu politik tanah air susulan tiada kerajaan dibentuk, lain pula kisahnya melibatkan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

 Menerusi hantaran dalam akaun sosialnya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu teruja kisah kejayaan Arab Saudi dalam Piala Dunia Qatar 2022 semalam.

 “Seusai kuliah Maghrib yang saya sampaikan di Masjid Al-Ehsaniah, Kampung Melayu Batu 16 Rawang, saya telah diberitakan dengan kejutan besar digelar Greatest Upset,” nukilnya.

 Pasukan ranking ke-51 dunia itu melakar kejutan terbesar apabila membenam skuad pilihan, Argentina selaku juara dua kali, dengan jaringan 2-1 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Lusail.

 Meskipun pasukan La Albiceleste itu menguasai permainan, ia tumbang setelah mendahului menerusi penalti oleh bintang sensasinya, Lionel Messi selain tiga gol dibatal kerana ofsaid.

 Kemenangan pasukan digelar The Falcons tersebut turut menyaksikan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud mengisytiharkan cuti umum di negara Asia Barat itu pada hari ini.

 Mengulas lanjut, Zulkifli menjelaskan bahawa beliau sendiri tidak pernah menyangka bahawa ramalannya mengenai kemenangan skuad Arab Saudi semalam boleh menjadi kenyataan.

 “Pasukan kerdil hijau yang selama ini hanya menjadi belasahan, dihina, diketawakan, namun semalam telah mengalahkan sang biru muda, antara gergasi bola sepak dunia,” kata beliau.

 Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut menulis coretan yang seumpama pengulas sukan apabila menceritakan kebangkitan Arab Saudi bijak menggunakan kelebihan fizikal badan.

 Walaupun berdepan pasukan ranking ketiga dunia, ujarnya, beliau memuji dua jaringan cantik serta permainan mantap aksi pemain melakukan sujud syukur setelah menang perlawanan.

 Hantaran beliau tular diperkatakan warganet tempatan apabila meraih lebih 1,400 tanda suka selain hampir 100 komen netizen yang teruja dengan coretan kali ini juga diselit unsur agama.

 Malahan beliau kelihatan tidak kekok mengupas corak permainan kedua-dua pasukan selain menekankan kejayaan skuad itu membuktikan keberkesanan taktikal dan usaha gigih pemain.

 Zulkifli turut berdoa agar pasukan Arab Saudi terus maju jaya dan mengharapkan Argentina dapat bangkit kembali menyaingi kejuaraan edisi ke-22 yang julung kali berlangsung di Qatar.

Piala Dunia kali ini mencipta sejarah diadakan pada akhir tahun dan berlangsung sejak Ahad lalu disertai 32 pasukan dengan melibatkan lapan stadium berbeza di lima bandar di negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya