PADANG BESAR: Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan disebut-sebut bertanding di Parlimen Padang Besar menggantikan penyandang, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Spekulasi Zahida bakal ‘terbang’ jauh ke Perlis sebagai calon di Padang Besar mula diperkatakan sejak kelmarin dan beberapa sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa memang ada calon luar bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Dakwaan tersebut diperkuat lagi apabila Zahidi sebelum itu meminta pucuk kepimpinan melihat semula senarai pencalonan yang dihantar bahagian itu dan menolak calon luar.
“Bahagian UMNO Padang Besar telah menghantar senarai lima calon seperti dikehendaki perlembagaan parti bagi PRU15.
“Sekiranya lima senarai tersebut tidak terpilih, ia mungkin akan melanggar perlembagaan parti dan sekiranya calon luar diletakkan di Padang Besar, ia mungkin menyebabkan sokongan penyokong berbelah-bagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Zahidi juga dijadual mengadakan sidang akhbar di Bilik Gerakan BN di Beseri petang ini dan dijangka ia berkaitan calon luar yang diperkatakan bakal diketengahkan di Padang Besar itu.
Menjelang pengumuman calon BN malam ini, nama Zahidi yang juga Ketua UMNO bahagian itu dikatakan gugur sebagai calon bagi Parlimen Padang Besar dalam PRU15.
Selain Zahidi, seorang lagi pemimpin ‘otai’, Datuk Seri Shahidan Kassim juga dikatakan tidak terpilih mempertahan kerusi Parlimen Arau dalam pilihan raya kali ini.
Zahidi menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri.
BN akan mengumumkan nama calon mereka pada pukul 8 malam ini di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) iaitu selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.
Pengumuman itu bakal menjadi tumpuan ramai kerana terdapat dakwaan beberapa nama besar daripada BN akan digugurkan dalam PRU15 pada 19 November depan walaupun berstatus calon boleh menang. – UTUSAN