YGMB salur dana bantuan RM1.6 juta

YGMB salur dana bantuan RM1.6 juta

WAN Munadi Wan Mamat (dua, kiri) dan Abdul Muie Ngah (tengah) bergambar bersama waris penerima dana bantuan khairat kematian di SK Ajil, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyalurkan dana bantuan sebanyak  RM1.6 juta kepada guru-guru yang berdaftar di bawah yayasan tersebut tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, dana bantuan yang disalurkan itu merangkumi khairat kematian, penyakit kritikal dan keilatan yang disebabkan kemalangan atau faktor lain.

Menurutnya, setakat ini, hampir 130,000 guru berdaftar dengan YGMB dan jumlah tersebut meningkat pada setiap tahun.

“Bantuan itu dapat membantu waris meneruskan kehidupan apabila berlaku musibah yang tidak dijangka seperti kemalangan dan kematian disebabkan penyakit kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian dana bantuan khairat kematian kepada tiga waris guru yang meninggal dunia di Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil, di sini, hari ini.

Dana bantuan itu tersebut disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Tiga waris yang menerima dana bantuan khairat kematian itu ialah Jalimie Abdul Jalil, 52, sebanyak RM29,000,  Nor Azimah Deraman (RM27,000) dan Noor Syahida Abdullah (RM8,000).

Wan Munadi memberitahu, kebanyakan ahli YGMB yang berusia 50 tahun ke bawah menghidap pelbagai jenis penyakit kritikal seperti jantung dan kanser.

Bagaimanapun, tambahnya, setiap ahli tersebut mempunyai jaminan perlindungan kesihatan dan kebajikan.

“Ahli YGMB mendapat manfaat tersebut melalui skim 18, 16, emas dan ahli seumur hidup,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Muie pula berkata, beliau menggalakkan lebih ramai guru di negeri ini menyertai YGMB untuk menjamin kebajikan mereka.

“Setakat ini hampir 10,000 guru di negeri ini menyertai YGMB manakala jumlah keseluruhan guru pula kira-kira 22,000.  Saya menyarankan lebih ramai guru di negeri ini menjadi ahli YGMB,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya