Yeo Bee Yin mahu atasi masalah trafik di Puchong

Yeo Bee Yin mahu atasi masalah trafik di Puchong

YEO Bee Yin mengedarkan risalah kepada peniaga dan orang awam ketika sesi walkabout di pasar malam Taman Pinggiran Putra, Puchong, Selangor.-UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Calon Pakatan Harapan (PH), Yeo Bee Yin mempunyai tiga perancangan utama sekiranya menang di Parlimen Puchong iaitu untuk mengatasi masalah kesesakan trafik, banjir serta pendidikan bagi anak-anak kurang berkemampuan.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Bakri berkata, dua daripada masalah utama itu sering membelenggu penduduk di kawasan sekitar dan diibarat seperti tidak berpenghujung.

“Jika saya dipilih (pada PRU15), kita akan jalankan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ada perancangan yang lebih holistik, saya kena lihat infrastruktur di kawasan ini selain adakan pertemuan dengan penduduk.

“Di kawasan ini juga terdapat banyak pangsapuri dan flat kos rendah, jadi kita perlu buat lebih banyak program pendidikan supaya anak-anak di situ boleh mendapat bantuan selain daripada apa yang dipelajari di sekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi walkabout di pasar malam Taman Pinggiran Putra di sini hari ini.

Namun kata Bee Yin, fokus utamanya ketika ini adalah mengekalkan kemenangan DAP di kerusi Parlimen Puchong.

Jelas beliau, sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU15, segala perancangan yang diatur bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat akan ditunaikan.

“Saya masih lagi kena cuba sedaya upaya dan tidak boleh rasa terlalu selesa kerana ini adalah kawasan baharu yang akan saya tandingi.

“Ini juga adalah satu peluang untuk saya memperkenalkan diri kepada para pengundi di Puchong dan mengambil kesempatan untuk lebih mengenali mereka,” katanya.

Bee Yin yang merupakan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah kerajaan PH pada 2018 menggantikan Gobind Singh Deo yang bertukar ke Parlimen Damansara.

Parlimen Puchong bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Bee Yin; aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (Barisan Nasional) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional).

Pada PRU14, Gobind menang dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya