KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) melaksanakan Program Motivasi Keibubapaan ‘Ibu Bapa Cakna, Anak Berjaya’ atas dasar prihatin dan komitmen berterusan terhadap pendidikan anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
YLTAT dalam satu kenyataan berkata, program itu adalah sebahagian daripada Program Sentuhan Elit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu inisiatif pendidikan yang telah diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 28 Oktober lalu.
Kata kenyataan itu, program motivasi berkenaan telah menyuntik dana berjumlah RM33,940.00 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (SMK DTHO) bagi pelaksanaan program tersebut.
“Program yang dilaksanakan hari ini hanyalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pendidikan yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak warga ATM yang berkaliber.
“Antara program yang dirangka oleh YLTAT adalah Program Dermasiswa Premium, Program Train and Place, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM, Bantuan IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) dan Bantuan Komputer Riba,” katanya di sini semalam.
Selain itu, kaunter Skim Penabungan Anak-Anak ATM Rukun Kelima (SPARK) turut dilaksanakan pada hari yang sama dengan kerjasama YLTAT, Jabatan Arah Pendidikan ATM dan Lembaga Tabung Haji.
Untuk rekod, kos keseluruhan program itu adalah RM675,000.
“Ini bertujuan membantu 13,500 anak-anak anggota ATM yang bersekolah di Sekolah Dalam Kem (SDK) membuka akaun simpanan Tabung Haji secara percuma.
“YLTAT akan menyumbang RM50 setiap seorang sebagai dana permulaan pembukaan akaun Tabung Haji atau mengkreditkan dana tersebut ke akaun sedia,” katanya.
Dalam pada itu, program motivasi keibubapaan tersebut dimeriahkan dengan taklimat daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkenaan Program Penajaan Asasi Sastera Bersama UniRazak.
Program itu juga disempurnakan oleh Ketua Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad di SMK DTHO.
Turut hadir adalah Pengarah Pendidikan ATM, Kol. Mohd. Shukri Mohd. Ghazali dan Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin. – UTUSAN