ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan apa yang terjadi terhadap bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi sebagai ‘balasan’ meninggalkan Pas dahulu.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, perasaan kasihan tetap ada terhadap apa yang berlaku kepada Phahrolrazi meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu meninggalkan bahtera Pas.
“Proses agih kerusi antara parti dalam PN berjalan lancar, tak berlaku seperti orang-orang yang keluar Pas tubuh PAN (Amanah). Pengasas PAN Kedah akhirnya dipecat kelmarin daripada parti dia.
“Saya pun tak gamak nak tengok muka dia lama-lama (semasa sidang DUN), tengok sikit-sikit sahaja. Kasihan sebab kenal lama walaupun dia tinggalkan kita (Pas), kata kepada kita macam-macam tetapi dia masih abang kita yang tua.
“Tetapi yang tinggal bahtera Pas Allah tunjukkan di dunia ini lagi, akhirnya terhina. Dia (Phahrolrazi) kata aku buat rumah tu siap-siap depa (mereka) hambat (halau) aku terbit (keluar),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, dekat sini, malam tadi.

Ahad lalu, Phahrolrazi dipecat oleh Amanah selepas dia tegas mahu mempertahan kerusi Parlimen Jerai daripada diserahkan kepada rakan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP.
PH Kedah menamakan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff di kerusi Parlimen pertama parti itu di negeri ini selepas hanya bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
Muhammad Sanusi berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selalu menyebut bahawa DAP akan memperguna orang Melayu khususnya bagi menguasai kerusi-kerusi Melayu yang akhirnya perkara itu tiba di Kedah.
“Jerai pengundi Melayu kira-kira 80 peratus akhirnya ditembusi oleh DAP melalui calon Melayu. Betul bagai kata orang tua-tua, mata kapak sahaja nak tebang pokok tak boleh kena ambil dahan pokok buat hulu maka pokok akan terbalik.
“Tetapi kita di Kedah ini berazam bersungguh-sungguh tak benarkan sama sekali DAP, PH, Barisan Nasional (BN) untuk bangkit semula di sini dan akan pastikan selama mana yang boleh untuk mengekalkan Kedah di bawah PN,” katanya. – UTUSAN