KLANG:Taman awam dengan tasik yang turut berfungsi sebagai kolam takungan adalah antara perkara yang terus diperjuangkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kapar, Muhammad Noor Azman sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).
Muhammad berkata, taman awam seperti Taman Tasik Shah Alam sebagai contoh bukan sahaja digunakan untuk beriadah, tetapi boleh menjadi kolam takungan apabila hujan lebat.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada penyelesaian konvensional seperti menyelenggara atau menaik taraf, sebaliknya perlu ada pendekatan kreatif dan saya akan perjuangkan untuk mewujudkan satu taman awam dengan ada tasik di Parlimen Kapar.
“Bila tidak hujan, orang Kapar boleh gunakan untuk beriadah, tapi bila hujan, tasik berkenaan akan berfungsi sebagai kolam takungan air.
“Saya tahu perkara ini bukan mudah tetapi saya akan suarakan dan perjuangkan habis habisan untuk warga Kapar sekiranya diberi peluang pada PRU15,” katanya ketika ditemui pada Proses Pengundian Awal PRU15 di Meru dekat sini hari ini.
Beliau berkata, banjir bukanlah perkara rumit untuk diselesaikan sekiranya ada koordinasi antara agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.
Katanya, kaedah seperti menggali parit atau longkang adalah penyelesaian jangka masa pendek terhadap masalah banjir yang membelenggu penduduk.
Ditanya adakah terdapat lokasi yang bersesuaian untuk dijadikan taman awam di sekitar Kapar, Muhammad berkata, projek berkenaan sudah pasti memerlukan tanah yang besar, justeru koordinasi antara semua pihak diperlukan.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, Kapar mempunyai 55 peratus populasi orang muda, justeru manifestonya juga tertumpu kepada pemerkasaan orang muda.
“Dalam manifesto rakyat, kita ingin mewujudkan Geran Ekonomi Parlimen Kapar (GEMPAK) sebanyak RM1 juta yang diberikan kepada anak muda Kapar secara terus dan telus.
“Kita juga akan tubuhkan Youth Hub yang membolehkan anak muda datang mendapatkan khidmat nasihat, latihan dan tempat riadah untuk mereka mengembangkan bakat serta potensi mereka.
“Kita juga ingin memastikan orang muda mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dengan penyediaan pusat tuisyen dan komputer riba percuma kepada pelajar B40 dan M40,” katanya. –UTUSAN