PETALING JAYA: Seorang wanita meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama enam ahli keluarganya melanggar belakang sebuah lori berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan, menghala ke Kuala Lumpur, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 6.21 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor Norazam Khamis berkata, seramai lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan Honda Accord dinaiki tujuh sekeluarga melanggar bahagian belakang sebuah lori di laluan sama.
“Kemalangan itu mengakibatkan seorang wanita berusia 38 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suami mangsa dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dilaporkan cedera, manakala empat lagi anak mereka berusia antara lapan tahun hingga lapan bulan pula dilaporkan cedera ringan.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN