KUANTAN: Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
Difahamkan, BN Pahang dijangka memilih PH sekali gus menolak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka terus mengenalkan jawatan Menteri Besar dan turut mendapat sokongan PH.
Sumber memaklumkan, setakat ini Wan Rosdy dijangka kekal sebagai Menteri Besar jika BN dan PH membentuk kerjasama.
“Bagaimanapun, ia terpulang atas perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” kata sumber itu.
Pada PRU15, BN menang 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN), PH lapan kerusi dan PN (17 kerusi).
Selepas keputusan PRU15 Sabtu lalu, kerajaan Pahang ‘tergantung’ kerana tidak ada mana-mana gabungan parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah berkata, perbincangan sudah dibuat oleh DAP Pahang namun rundingan dengan BN negeri akan dijalankan oleh Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Dari sudut kami (DAP Pahang) sudah okay. Kita beri masa kepada mereka (BN) untuk menyelesaikan masalah mereka dahulu,” katanya.
Beliau berkata, PH Pahang juga sudah membuat keputusan menyokong Wan Rosdy untuk terus menerajui kerajaan negeri selaku Menteri Besar.
“Kita telah putuskan untuk sokong Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tapi apa pun ia akan diputuskan oleh istana dan kami hormati keputusan istana. Kita harap kerajaan pusat bekerjasama (PH dan BN), di peringkat negeri pun kerjasama, contoh terbaik di Perak,” katanya. – UTUSAN