KUALA LUMPUR: Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Majlis PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili PH tiba selaku calon paling awal di pusat penamaan calon di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada pukul 8.45 pagi diikuti calon PN daripada Bersatu, Datuk Kamarudin Jaffar selang lima minit kemudian dan disusuli, Chan Yeen Kin dari MCA mewakili BN).
Kamarudin Jaffar yang kini bertanding di bawah bendera PN, merupakan penyandang kerusi itu dengan kemenangan majoriti sebanyak 19,930 undi, menewaskan Adnan Seman (BN) dan Dr Rosni Adam (Pas) pada PRU14.
Proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi itu menyaksikan urusan ketiga-tiga calon berjalan lancar, sehinggalah Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) P124, Mohammad Hamim mengumumkan waktu penghantaran kertas calon tamat pada pukul 10 pagi.
Pengumuman mengenai calon yang layak bertanding akan diumumkan pegawai Suruhanraya Pilihan Raya (SPR) sebentar lagi.
Turut kelihatan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan hadir memantau perjalanan penamanaan calon di sini. – UTUSAN