KUALA TERENGGANU: Dua petugas Media Mulia Sdn. Bhd. meraih tiga anugerah dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 anjuran kerajaan negeri di sini, malam tadi.
Jurugambar Utusan Malaysia, Puqtra Hairry Rosli muncul juara bagi Kategori Foto Terbaik Media Digital melalui karyanya bertajuk Kenapa Tidak Lawan Virus Dengan Doa sekali gus membawa pulang hadiah RM3,000 dan trofi.
Puqtra Hairry turut muncul naib johan bagi Kategori Foto Terbaik Media Cetak dengan karya bertajuk Wau Naga dan kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah RM2,000 dan trofi.
Wakil negeri Kosmo!, Mohd. Azli Adlan pula muncul juara bagi Kategori Berita Terbaik Media Cetak menerusi laporan berita Misi Vaksinasi Warga Pulau yang disiarkan pada 21 Ogos 2021.
Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang hadiah RM3,000 dan trofi.
Penyampaian ketiga-tiga anugerah itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahya Ali yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, bekas Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Allahyarham Khairul Azlam Mohamad diberikan Anugerah Tokoh Media Berjasa.
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus pula terpilih menerima Anugerah Tokoh Media Berpengaruh manakala pelakon, Eman Manan diberikan Anugerah Media Sosial Influencer Selebriti. – UTUSAN