Ustaz Kazim tarik diri jadi calon kerana tidak mahu 'lawan' abang

Ustaz Kazim tarik diri jadi calon kerana tidak mahu ‘lawan’ abang

MOHD. Kazim Elias dalam sidang akhbar di Kompleks Darul Barakah, Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias memohon maaf kepada pengundi di Parlimen Larut kerana membatalkan hasrat bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, penarikan dirinya dibuat atas dasar prinsip tidak mahu bertanding di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut meletakkan adik-beradiknya sebagai calon.

“Pengundi-pengundi di Larut, saya minta maaf. Walaupun (bukan sebagai calon), saya berjanji turun ke Larut sebagai pendakwah. Saya akan bantu apa yang boleh untuk sahabat dan saudara-mara saya di Larut, Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau. Insya-Allah, Larut dan seluruh kawasannya tetap di hati saya,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Darul Barakah di sini hari ini.

Mohd. Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim sebelum ini dinamakan Barisan Nasional (BN) untuk mewakili parti itu di Parlimen Larut pada PRU15 menentang calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis di Kuala Lumpur, Mohd. Kazim menarik diri dan diganti Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika menandatangani watikah dan akujanji sebagai calon BN, dia sama sekali tidak mengetahui abangnya turut menandatangani watikah dan akujanji dengan parti lain.

Katanya, selepas perbincangan diadakan, dia akhirnya membuat keputusan menarik diri sekali gus memberi laluan kepada abangnya, Datuk Mohd. Najmuddin untuk bertanding di DUN Batu Kurau yang berada di bawah Parlimen Larut.

“Sebelum saya menerima tawaran dan pelawaan daripada kepimpinan UMNO negeri, saya menyatakan prinsip bahawa saya tidak mahu bertanding melibatkan ahli keluarga dalam satu Parlimen atau DUN. Itu apa yang diamanahkan arwah ibu kepada kami khususnya saya.

“Saya tidak akan bertanding sesama keluarga kerana akan menimbulkan persepsi tidak berapa cantik dalam kalangan masyarakat khususnya di Parlimen Larut yang kebanyakannya adalah keluarga, saudara-mara dan anak-anak murid kami,” katanya.

Menurut beliau, selepas keputusan menarik diri dibuat, satu surat telah dihantar kepada Ahmad Zahid bagi memaklumkan perkara itu namun tidak sempat diterima sebelum namanya diumumkan sebagai calon.

“Tidak timbul isu misalnya saya ditolak di mana-mana bahagian dan cawangan kerana (pencalonan) saya dipersetujui oleh semua khususnya di BN negeri dan Pusat, begitu juga di bahagian. Jadi tidak timbul isu ‘flip flop’ setuju, tidak setuju,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Kazim mengakui bahawa beliau berasa sedikit sedih dan ralat dengan penarikan diri itu kerana tidak dapat mewakili rakyat membawa suara mereka ke Parlimen.  

“Saya sudah berdakwah selama 32 tahun dan sudah banyak benda saya buat hingga saya berasakan sudah sampai masanya untuk direalisasikan dengan satu kerja politik, kerja berjawatan. Bila ada satu jawatan, saya boleh bercakap dalam Parlimen. Itu sasaran saya.

“Saya sebenarnya sedih, rasa ralat sebab saya tidak boleh membawa suara itu. Insya-Allah, kalau ada di luar jawatan ahli Parlimen dan sebagainya, saya akan bantu kerajaan membantu rakyat tidak kira pelbagai parti kerana semua orang adalah kawan saya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya