Ustaz Kazim sembuh penyakit misteri

Ustaz Kazim sembuh penyakit misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias atau dikenali Ustaz Kazim menjelaskan bahawa beliau telah sembuh daripada penyakit misteri yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Katanya, beliau menjalani rawatan alternatif penyakit tersebut di Madinah pada September lalu.

“Saya buat rawatan empat hari di dua tempat di Madinah. Saya dapatkan air dari telaga nabi yang masih wujud di Badr.

“Alhamdulillah, pulang dari situ, wajah saya sudah okey, tidak lagi luka dan berdarah. Kalau dulu kena pakai topeng kerana boleh berdarah secara tiba-tiba.

“Sekarang sudah November dan keadaan pun semakin baik. Saya bersyukur kerana tidak perlu lagi pakai krim untuk tahan luka,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Darul Barakah di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Kazim, beliau juga semakin sihat dan boleh memenuhi pelbagai jemputan ceramah di seluruh negara.

“Jika orang mengikuti aktiviti seharian saya, mereka tahu saya memang sihat. Saya boleh berjalan dari Kuala Lumpur sampai ke Sik, Kedah. Dalam satu hari empat program dan semuanya jauh-jauh.

“Masalah saya (sebelum ini), penyakit saya ini tidak dapat dikesan dan saya telah pun pergi ke Madinah untuk rawatan dan Alhamdulillah, sudah sihat sepenuhnya dan keadaan kesihatan saya sangat memuaskan,” katanya.

Pada Mei lalu, Mohd. Kazim dalam dua hantaran berasingan dalam media sosial miliknya memohon bantuan orang ramai yang boleh mengubati penyakit dialaminya.

Hantaran berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang mendoakan kesembuhan beliau selain ada yang menawar diri untuk membantu.

Malah, ketika siaran langsung di Facebooknya juga, beliau akan mencari individu di Thailand yang dipercayai mengenakan sihir kepadanya  seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN