KUALA TERENGGANU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Marang, Azhar Abdul Shukur, 57, tidak gentar bertanding di kawasan lubuk Pas itu walaupun terdapat pihak melabelkan beliau sebagai ‘calon import’.
Ini kerana, beliau berkata, masyarakat setempat memberi sambutan terhadap setiap aktiviti kempen yang dijalankan di kawasan tersebut dan mendapat maklum balas yang sangat baik setelah seminggu ‘berkampung’ di Parlimen ini.
“Mereka tahu, walaupun saya berasal dari Selangor, namun isteri saya adalah orang Terengganu yang mempunyai saudara-mara di sini, malah saya juga mempunyai rangkaian perniagaan di Terengganu.
“Sedikit sebanyak, saya memang ikut rapat perkembangan politik di Terengganu khususnya di Marang kerana ramai sahabat saya berada di sini, malah mereka sangat mengalu-alukan kedatangan calon luar untuk membawa perubahan baharu di Parlimen Marang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Azhar menambah, beliau sanggup memikul tanggungjawab yang diberi Parti Amanah Negara (Amanah) dengan azam mahu menguburkan politik ekstrem yang didakwanya sebagai punca persengketaan umat Islam di negara ini sejak berpuluh tahun lalu. “Saya membawa perubahan dengan memurnikan fikrah (pemikiran) umat Islam di Marang agar tidak melihat perbezaan politik seolah-olah satu kesalahan hampir sama dengan perbezaan akidah,” jelasnya. –UTUSAN