Undi PH, PN undi bawa kehancuran - Utusan Malaysia

Undi PH, PN undi bawa kehancuran

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rakyat diminta membuat pertimbangan bijak pada hari pengundian 19 November ini dengan memilih kestabilan dan kemakmuran, bukannya mengundi Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang bakal membawa kehancuran terhadap masa depan negara.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, satu undi untuk PH atau PN pada Pi­lihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermakna undi ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

Justeru beliau menggesa pengundi supaya membuat keputusan dengan mengambil kira calon dan parti politik yang diketahui mempunyai rekod pentadbiran cemerlang iaitu Barisan Nasional (BN) dan bukannya mengikut emosi.

“Rakyat sudah sedar selama ini wakil rakyat pembangkang tidak memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi setelah diberi mandat.

“Akibat (keputusan PRU14) 2018, politik dan ekonomi negara menjadi tidak stabil dan impaknya masih terasa hingga hari ini, dengan pelbagai projek rakyat dibatalkan, janji dimungkiri dan pelbagai lagi.

“Percayalah Malaysia tidak akan mampu berdepan cabaran ekonomi global yang dijangka berlaku tahun depan dengan sebuah kerajaan tidak stabil, de­ngan suasana politik cacamarba seperti sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor memberitahu, sokongan kepada PH atau PN tidak akan membantu menubuhkan Kerajaan Pusat yang stabil kerana kedua-dua gabungan itu tidak mendapat sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“PRN Sarawak tahun lalu membuktikan, sokongan rak­yat di sana sudah kembali di mana GPS (Gabungan Parti Sarawak) menang 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Rakyat Sarawak sudah bersuara, mereka tidak akan bersama PH dan PN. Jadi, hanya ada satu pilihan yang logik dan relevan untuk memastikan kestabilan politik dan masa depan ekonomi negara, iaitu dengan mengundi BN pada 19 November ini,” jelasnya.

Onn Hafiz me­ngakui bahawa BN bukan sebuah parti yang sempurna dan kekalahan pada 2018 membawa hikmah tersendiri, namun beliau yakin gabungan itu telah melakukan pelbagai pembaharuan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“UMNO dan BN banyak kelemahan, tetapi kita sudah lakukan pelbagai penambahbaikan setelah muhasabah diri. Proses rejuvenasi parti juga sedang dijalankan secara proaktif.

“Dan saya juga melihat rak­yat berbilang kaum, walaupun bukan penyokong, sebenarnya rindu dengan pentadbiran BN yang telah membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat selama ini.

“Saya juga percaya gelombang rakyat masa kini memihak kepada BN. Mengambil situasi di negeri ini, kami yakin boleh memenangi 16 kerusi Parlimen, dan dengan kerja keras dan kerjasama semua pihak, adalah tidak mustahil untuk capai sasaran memenangi 20 kerusi daripada keseluruhan 26 yang dipertandingkan,” katanya.

Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai kerana BN sentiasa mempamerkan semangat yang muafakat dan kerjasama baik antara rakan-rakan parti komponen, berbeza dengan pihak lawan yang saling bercakaran antara satu sama lain.

“Pada PRU lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama melawan BN, tetapi kali ini tiga pemimpin itu sudah berpe­cah. Jadi, adalah mustahil untuk mereka menubuhkan kerajaan.

“Ini berbeza dengan BN, kerana pendekatan kita untuk menggandingkan calon berpengalaman dan calon muda profesional juga dilihat sebagai langkah progresif dalam memastikan kesinambungan kepemimpinan BN.

“Strategi ini sudah terbukti dalam PRN Johor dan hasilnya hanya dalam tempoh tujuh bulan, Johor telah merekodkan pelaburan tertinggi sebanyak RM60.9 bilion, jauh meninggalkan Selangor pada kedudukan kedua dengan RM15 bilion.

“Itu yang rakyat akan peroleh sekiranya mereka memilih ke­stabilan. Dengan adanya ke­stabilan politik, sektor ekonomi dapat dirancakkan semula, sekali gus memberi manfaat kepada kehidupan semua rakyat Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya