Uncle Kentang tawar manifesto ‘Tiada Yang Terpinggir’

Uncle Kentang tawar manifesto ‘Tiada Yang Terpinggir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Calon Bebas Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng atau lebih popular sebagai Uncle Kentang menggariskan lapan fokus utama dalam manifesto yang dikemukakannya, hari ini.

Manifesto ‘Tiada Yang Terpinggir’ itu merangkumi golongan warga emas dan ibu tunggal serta membabitkan kemudahan seperti ambulans untuk rakyat, pusat rakyat, e-bantuan kenderaan, e-bantuan kecemasan dan bank makanan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Chee Heng berkata, fokus kebajikan warga emas yang dicadangkan bertujuan memberi kemudahan dan perlindungan untuk melestarikan hidup sihat dan menjaga kebajikan golongan tersebut menjelang Negara Usia Tua 2030.

Selain itu, katanya, cadangan kebajikan bagi golongan ibu tunggal pula adalah dengan menyediakan satu kumpulan peguam-peguam di bawah badan kehakiman untuk membantu kes-kes tuntutan nafkah dan pembahagian harta sepencarian dalam kes penceraian berikutan ramai yang tidak berkemampuan untuk melantik peguam.

Chee Heng yang menggunakan logo telefon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga mahu mewujudkan kelas-kelas tadika dan pra sekolah tambahan secara percuma untuk anak-anak daripada keluarga susah dengan menekankan silibus berkaitan sahsiah diri serta nilai hidup.

Selain itu, beliau ingin mewujudkan dua pasukan ambulans di Serdang dan Seri Kembangan untuk mempercepatkan tempoh respon dalam kecemasan.

“Ambulans ini juga akan digunakan bagi membantu pesakit terlantar yang tidak mampu membayar caj ambulans swasta untuk rawatan lanjut di hospital.

“Terdapat dua pusat khidmat setempat akan diwujudkan di Serdang dan Taman Equine untuk kemudahan rakyat setempat dan ia akan diketuai dua calon Bebas yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri kelak. Maklumat peribadi mereka akan dikongsi supaya penduduk dapat menilai kredibiliti mereka sebelum dijadikan calon Bebas,” katanya.

Dalam pada itu, Chee Heng berkata, selain memperkasakan Bank Makanan sedia ada, beliau akan mewujudkan lima lagi Bank Makanan tambahan di sekitar kawasan Parlimen Puchong membabitkan rumah ibadat seperti masjid, tokong, kuil dan gereja.

Jelasnya, e-bantuan kecemasan pula merupakan satu sistem sekuriti atau perlindungan melalui pusat panggilan 24 jam yang boleh membantu dalam masa kecemasan.

“Satu aplikasi telefon pintar yang berfungsi 24 jam dikenali sebagai e-bantuan kenderaan akan diwujudkan dalam usaha memberi perlindungan kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan,” ujarnya.

Parlimen Puchong bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Chee Heng, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (Barisan Nasional), Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan) dan Chew Jgh Gang (Perikatan Nasional). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya