UMNO akan lebih bermaruah sebagai pembangkang - Utusan Malaysia

UMNO akan lebih bermaruah sebagai pembangkang

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: UMNO sepatutnya kekal menjadi pembangkang dan menerima hakikat parti itu telah ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, menjadi pembangkang selepas PRU15 bukan satu kegagalan sebaliknya adalah tempoh untuk UMNO melakukan tugas bagi memastikan proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara berjalan lancar.

”UMNO kena terima hakikat rakyat tidak mahu mereka menjadi kerajaan, calon-calon mereka telah kalah dalam pilihan raya kali ini.

“Sebaik-baiknya UMNO kekal menjadi pembangkang yang bermaruah dan bangkit semula selepas lima tahun, jangan jadi kerajaan yang dibenci rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Keputusan PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen iaitu jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14 dan kini pemimpin-pemimpin BN sedang dalam rundingan sama ada mahu membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mohd. Yussof, pemimpin UMNO perlu membina semula keyakinan rakyat dan menjadi pembangkang yang berkaliber menyuarakan isu rakyat di Dewan Rakyat.

“Kalau semua mahu jadi kerajaan, siapa yang mahu menjadi pembangkang pula. Siapa yang akan betulkan jika ada kerajaan tidak melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Menjadi pembangkang bukan bererti UMNO kalah, namun adalah satu tindakan yang lebih baik daripada bercita-cita menjadi kerajaan namun ditolak rakyat,” katanya.

Tambahnya, bagi menyelesaikan kemelut yang ada melibatkan UMNO pada masa ini sewajarnya satu mesyuarat agung tergempar dipanggil bagi menentukan hala tuju UMNO.

”UMNO bukan milik Presiden atau mana-mana individu dan keputusan tidak boleh dibuat oleh Presiden semata-mata.

”Oleh itu, lebih baik UMNO memanggil satu mesyuarat agung tergempar yang menentukan sama ada UMNO wajar terlibat dalam pembentukan kerajaan atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu tegas beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sewajarnya meletakkan jawatan kerana gagal memimpin BN dalam PRU15 sehingga parti itu kalah teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya