KUALA LUMPUR: “Tunjuk bukti sekiranya betul saya cuba menghalang Anwar (Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) daripada menjadi Perdana Menteri”.
Demikian gesaan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua kepada penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran yang mendakwa bahawa beliau bertanding sebagai calon bebas disebabkan mahu menghalang Anwar daripada menjadi kerajaan.
Tian Chua berkata, Prabakaran sepatutnya fokus kepada perkara yang ingin beliau perjuangkan untuk penduduk di kawasan Batu bukan melakukan serangan bersifat ‘budak-budak’ kepadanya.
“Perkara seperti membentuk kerajaan atau memilih Perdana Menteri ni sebenarnya bukan berada di tahap beliau.
“Nasihat saya kepada Prabakaran, tolong fokus kepada apa yang beliau boleh lakukan untuk pengundi di kawasan Batu, mulakan debat mengenai dasar yang ingin dibawa. Berhenti daripada membuat serangan bersikap peribadi ni, jangan menghina kebijaksanaan pengundi,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Prabakaran menggesa Tian Chua untuk berhenti daripada terus mengelirukan pengundi PH memandangkan beliau bukan lagi ahli parti kerana bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, Prabakaran turut mendakwa bahawa Tian Chua tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri kerana menentang calon daripada parti sendiri.
Semasa PRU14, Tian Chua hilang kelayakan bertanding kerana terdapat kes mahkamah walau bagaimanapun beliau turun membantu Prabakaran yang ketika itu bertanding sebagai calon bebas.
‘Perang dingin’ antara mereka mula terjadi apabila Tian Chua berkeras untuk bertanding di Parlimen Batu dengan menggunakan tiket bebas, bekas Ahli Parlimen tersebut memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat kerana janjinya kepada penduduk bahawa beliau akan kembali.
Tian Chua berkata, walaupun semasa PRU14 tujuan Prabakaran bertanding sebagai calon bebas menimbulkan syak wasangka tetapi beliau tetap dimaafkan bagi memberi fokus untuk menentang musuh yang sama.
“Sampai ke hari ini Prabakaran tidak memberitahu saya atau masyarakat apakah motif beliau bertanding menentang PH pada PRU14? Adakah dia disokong oleh gerakan anti-PH? Sedangkan pada waktu itu, saya sedar bahawa ayahnya adalah ahli kepada MIC.
“Bagaimanapun, saya tetap memaafkan niat sebenarnya itu memandangkan beliau bersetuju untuk menjadi proksi kepada saya bagi menentang Barisan Nasional,” katanya. – UTUSAN