SEPANG: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap mendakwa kononnya pembayaran awal gaji penjawat awam pada bulan ini sebagai rasuah.
Beliau yang ternyata kecewa dengan tindakan pihak Kementerian Kewangan yang sengaja mempercepatkan bayaran emolumen dan pencen masing-masing mulai esok dan Khamis.
“Kalau bagi duit awal sebelum Sabtu ini, itu dikira macam rasuah juga dan salah bagi dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berbuat begitu,” katanya kepada pemberita mengadakan sesi ’walkabout’ sejam bersama dengan calon partinya bagi kerusi Parlimen Sepang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim di Pasar Pagi Pekan Dengkil di sini.
Perbendaharaan pada 7 November lalu memaklumkan kelulusan pembayaran awal gaji dan pencen untuk bulan ini dipercepatkan berbanding kelaziman pada setiap 25 hari bulan.
Tiga hari kemudian, Ismail Sabri ketika ditemui di Bera, Pahang memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mulai Selasa ini melibatkan nilai RM2.1 bilion yang bakal memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima dalam kalangan berpendapatan B40 sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang kesal dengan usaha kerajaan itu mengulangi kenyataan sama ketika program Pejuang di Sungai Petani, Kedah kelmarin bahawa ia juga adalah rasuah.
“Bagi BKM awal, gaji penjawat awam dipercepat, konon hendak tolong rakyat, tapi ini ‘curi’ duit rakyat dan salah padahal dia (Ismail Sabri) belum jadi kerajaan,” katanya dalam nada sinis sambil mendakwa Perdana Menteri ketika ini cuma bertaraf interim.
Ditanya apakah tawaran Pejuang kepada penjawat awam dan rakyat yang amat memerlukan bantuan, beliau hanya berkata, partinya cuma menawarkan kerajaan bersih serta cukup stabil, bagaimanapun memberi bayangan akan tiada imbuhan berbentuk ‘duit’ seperti dilakukan kerajaan sekarang kerana menyifatkan kaedah tersebut sebagai bentuk amalan rasuah. – UTUSAN