Tun M calon tertua bertanding, paling muda berusia 23 tahun

Tun M calon tertua bertanding, paling muda berusia 23 tahun

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusia 96 tahun diumumkan sebagai calon tertua bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan Parlimen Langkawi. 

Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas selesai urusan penamaan calon bagi PRU15 bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi DUN bagi Pahang, Perlis dan Perak serta satu kerusi N.66 Bugaya, Sabah.  

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, dua calon direkodkan paling muda berusia 23 tahun iaitu Peggy Chaw Zhi Ting yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen P.181 Tenom dan Muhammad Syahmi Suhaimi di DUN N.12 Tambun Tulang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, sejumlah 1,392 kertas penamaan dikemukakan pelbagai parti dan individu sejurus tamatnya tempoh penamaan calon pada pukul 10.00 pagi, namun enam kertas pencalonan ditolak iaitu empat di Parlimen dan dua di DUN sekali gus merekodkan 1,386 calon diisytiharkan layak bertanding (945 Parlimen, 441 DUN).

Menurut beliau, tiada kerusi menang tanpa bertanding dengan menyaksikan pertembungan paling tinggi sebanyak 10 penjuru di peringkat Parlimen iaitu P.115 Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala tujuh penjuru bagi DUN melibatkan N.47 Chenderiang, Perak.

“Hanya 187 calon wanita daripada keseluruhan 1,386 calon yang layak bertanding dengan kumpulan umur paling ramai adalah pada usia 60 tahun dan ke atas iaitu 352 calon melibatkan Parlimen dan DUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya  dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 18 November ini. 

Katanya, SPR menubuhkan sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti  calon-calon yang bertanding ketika berkempen. 

“Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya  sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan.

“Ia bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya. 

“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya. 

SPR pada masa sama berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan peraturan yang ditetapkan. – UTUSAN  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya