SHAH ALAM: Rakyat negeri ini yang mengeluh tentang kenaikan harga rumah, masalah infrastruktur dan isu banjir perlu bertindak memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat kerana berupaya mentadbir negeri dan negara.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Melayu Selangor (DPPMS), Tan Sri Rozali Ismail, siapa pun tidak boleh menafikan rekod cemerlang BN selama lebih 60 tahun memerintah negara ini.
“Sebagai Presiden DPPMS saya berharap rakyat Selangor berpatah balik mengundi BN yang mempunyai trek rekod dan mempunyai kewibawaan mentadbir negara.
“BN boleh memulihkan Selangor menjadi negeri maju. Ini adalah usul yang dibawa kepada Majlis Tertinggi DPPMS dan kita berharap perkara ini diambil iktibar kepada semua penduduk dan pengundi di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri calon Ahli Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Jalil di Wisma Rozali Seksyen 13 hari ini.
Rozali berkata, sejak negeri ini ditadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PH), infrastruktur di ibu negeri yang juga bertaraf bandaraya Shah Alam amat mengecewakan dan ia dilihat tidak kondusif untuk perniagaan.
“Infrastruktur di bandaraya ini dari segi landskap tidak mencerminkan ia sebagai bandaraya yang sebenar seperti Johor Bahru dan Melaka.
“Semasa banjir besar tahun lepas, bangunan ini juga terlibat dengan banjir dan perlu membelanjakan RM6 juta untuk baik pulih,” katanya.
Rozali berkata, bagi melakukan perubahan menyeluruh dari segala aspek, ia memerlukan kemahuan politik dalam kalangan rakyat untuk menukar kerajaan agar perubahan fizikal secara dasar dapat dilakukan.
Mengulas mengenai kemampuan BN merampas kembali Selangor beliau berkata, parti tersebut meletakkan calon-calon muda berpendidikan tinggi dan berwibawa untuk memastikan masalah rakyat seperti peningkatan kos sara hidup dan perumahan dapat diatasi.
“Saya percaya BN mampu membuat perubahan di negeri ini berdasarkan calon-calon berkaliber diletakkan untuk bertanding di Selangor,” katanya. – UTUSAN