KUALA TERENGGANU: Seorang tukang kayu terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini, meminda pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki dadah.
Tertuduh, Muhammad Afiq Nasrullah Che Man, 22, dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa kepada hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh ditangkap iaitu 30 Mac lalu.
Tertuduh sebelum itu berdepan hukuman mandatori gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Afiq Nasrullah didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 52.53 gram di sebuah rumah di Kampung Pantai, Batu Rakit dekat sini.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 1 petang, pada 30 Mac.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa. – UTUSAN