LIPIS: Calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man cuma menghantar wakilnya, Saludin Endol semasa proses penamaan calon bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini yang bermula pukul 9 pagi ini.
Timbalan Presiden Pas itu tidak dapat hadir kerana beliau juga menghadiri penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian di Kelantan selaku penyandang kawasan tersebut.
Bagaimanapun Saludin tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan atas peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan wakil calon masuk ke dewan bagi menghantar borang penamaan calon.
Beliau cuma diwakili pencadang, Muhaider Mohamed Kasim dan penyokong, Mohd. Shakri Yusoh.
Tuan Ibrahim mencetuskan fenomena baharu dalam landskap politik Pahang apabila diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN untuk bertanding di Dun Cheka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Sementara itu, Saludin yang juga pernah bertanding di DUN Cheka pada PRU14 lalu memberitahu, beliau memberi penghormatan kepada Tuan Ibrahim untuk bertanding di situ kerana tokoh pas tersebut merupakan nama besar dalam arena politik tanah air khususnya dalam perjuangan Pas.
Saludin yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Lipis berkata, selepas tewas pada PRU14 lalu, beliau memilih untuk memperlahankan karier politiknya dan bergiat di belakang tabir perjuangan Pas.
“Selain itu saya juga ingin menumpukan perhatian pada keluarga selain turut mengisi masa lapang dengan berkebun,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon (PPS) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis di sini hari ini.
Saludin berkata, Tuan Ibrahim akan terus memulakan kempen dengan hasrat untuk memfokuskan bidang pembangunan dan kebajikan rakyat seperti mana yang dilakukan di kawasan Parlimen Kubang Kerian.
“Saya yakin Pas Lipis dan PN akan terus bekerja keras semasa tempoh kempen ini untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Tuan Ibrahim selaku calon PH bagi kerusi DUN Cheka,” katanya. – UTUSAN