PETALING JAYA: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man digesa tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kementerian berkenaan didakwa dalam proses untuk menganugerahkan projek secara rundingan terus itu kepada kontraktor dilantik.
Katanya, tindakan itu sama sekali melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan, aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara.
“Saya dapat maklumat projek itu dalam proses untuk diluluskan dalam tempoh dua minggu ini.
“Jika benar tidak diteruskan, sewajarnya Tuan Ibrahim membuat kenyataan terbuka yang projek itu tidak akan dianugerahkan secara rundingan terus sebaliknya sebarang keputusan hendaklah dibuat oleh kerajaan baharu,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Rafizi berkata, sekiranya wujud unsur-unsur salah guna kuasa maka siasatan lanjut perlu dilaksanakan pihak berkuasa.
Sementara itu katanya, semakan mendapati syarikat kontraktor berkenaan mempunyai rekod buruk sekali gus mampu mengundang isu-isu rasuah dan lain-lain.
“Semakan turut mendapati terdapat dua projek dikendalikan kementerian ini yang melibatkan satu syarikat kroni yang rapat dengan pimpinan UMNO,” katanya.
Terdahulu, Rafizi berkata, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas sebelum ini menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal secara tender terhad kepada syarikat kontraktor sama. – UTUSAN