Tok Wi disayangi pengundi Besut

Tok Wi disayangi pengundi Besut

NAWI Mohamad (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga ketika berkempen di Pasar Pagi Alor Lintah, Besut, Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama Datuk Nawi Mohamad atau mesra dipanggil Tok Wi, pasti pengundi Parlimen Besut segera terbayang wajahnya yang mesra dan mudah didekati rakyat di mana sahaja serta pada bila-bila masa.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut itu bukanlah orang asing bagi pengundi kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Besut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut yang sentiasa cakna dengan permasalahan serta aduan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, Nawi berkata, beliau mahu menjadikan Besut sebagai hab pelancongan dan pendidikan sekiranya berjaya mempertahan kerusi Parlimen itu pada hari penentuan, Sabtu ini.

Beliau berkata, pentadbiran BN selama ini berjaya mengalirkan limpahan ekonomi kepada rakyat di seluruh negara termasuk Besut yang terkenal dengan berbelas institusi pengajian tinggi serta destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Katanya, semua perancangan pembangunan yang memberi impak baik kepada penduduk dari segi kemudahan infrastruktur, digitalisasi, perumahan, kesejahteraan dan kebajikanditeruskan sebaik sahaja BN mendapat mandat menuju ke Putrajaya dalam PRU-15.

“Perkara pertama yang kita lakukan adalah menggesa kerajaan Pusat untuk mempercepat pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang telah tertangguh sekian lama.

“Kemudian, pembinaan jalan baharu dari Hulu Besut ke Kuala Krai, Kelantan juga akan dibuat untuk merancakkan lagi sektor ekonomi dua negeri,” katanya.

Agenda UMNO Besut

Selain itu, beliau berkata, agenda utama UMNO Besut ialah membina 2,000 unit Rumah Mampu Milik di empat kawasan DUN Parlimen iaitu Jerteh, Kuala Besut, Kota Putera dan Hulu Besut serta stadium di Kampung Raja untuk memastikan golongan muda dapat menjalani gaya hidup yang aktif dan sihat.

“Kita di Besut bertuah kerana dapat mengeksploitasikan keindahan alam semulajadi untuk merancakkan lagi industri pelancongan kerana selain Pulau Perhentian, kita ada Bukit Keluang, Bukit Bubus dan jajaran pantai yang cantik.

“Antara perancangan lain yang akan dibuat adalah pembinaan satu laluan khas untuk pelancong di sepanjang jajaran pantai dari Beting Lintang ke Air Tawar yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti riadah seperti berbasikal, berjogging dan berjalan kaki,” katanya.

Selain itu, isu lain seperti projek perumahan kos rendah, peluang pekerjaan dan kemudahan bekalan air yang sempurna juga diberi fokus utama oleh BN untuk keselesaan penduduk di Parlimen itu.

Harapan

Nawi berharap pengundi memilih BN kerana hanya parti itu yang telah terbukti membawa perubahan dengan menguruskan negara dan negeri ke arah landasan yang betul.

Parlimen Besut yang mempunyai 111,650 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam PRU-15 iaitu BN, Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Pakatan Harapan (PH).

Nawi akan menentang Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Pas), Datuk Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang) dan calon PH, Abd. Rahman @ Abd Aziz Abas bagi mempertahankan kerusi Parlimen Besut

Pada PRU-14, Parlimen Besut dimenangi Idris yang bertanding atas tiket BN dengan undi sebanyak 34,335 menewaskan calon Pas, Riduan Mohamad Nor dan juga Wan Nazari.

INFO:

CALON BN PARLIMEN BESUT

DATUK NAWI MOHAMAD

PENDIDIKAN

Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya (1988)

PENGALAMAN KERJA

* ADUN Hulu Besut (2004-Kini)

* Pengerusi Felcra Bina Sdn Bhd (April 2022-Kini)

* Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi & Kepenggunaan Negeri (2016-2018)

* Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan & Komoditi Negeri (2013-2016)

PERJALANAN POLITIK

* Ketua UMNO Bahagian Besut (2013-Kini)

* Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut (2008-2014)

* Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut (1995-2001)

* Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut (1993-1995)

PENGLIBATAN NGO

* Pengerusi Majlis Tindakan Membenteras Dadah (MTMD) Daerah Besut

* Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan Gerai

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya