SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Mohamad Hasan mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chung Hua, Rantau di sini.
Beliau tiba di pusat pengundian tersebut bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin kira-kira pukul 9.10 pagi.
Mohamad yang mengundi di saluran dua selesai menunaikan tanggungjawab kira-kira pukul 9.40 pagi dan kemudian turut beramah mesra dengan pengundi lain di pusat mengundi berkenaan.
Ketika ditemui pemberita, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian setakat ini dan berharap orang ramai dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Keluarlah mengundi, tunaikan tanggungjawab kita sebagai warganegara untuk memilih kerajaan yang akan dapat kita bergantung dalam tempoh lima tahun akan datang, insya-Allah,” katanya.
Mohamad yang mewakili Barisan Nasional (BN) menerima cabaran daripada calon Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus.
Turut memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu ialah calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ramly Awalludin dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.
Terdapat seramai 133,555 orang pemilih berdaftar di Parlimen Rembau dengan meliputi pengundi Melayu sebanyak 73.62 peratus, India, 15.9 peratus, pengundi Cina sebanyak 8.76 peratus. – UTUSAN