PETALING JAYA : Persaingan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula dengan hari penamaan calon di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara.
Bermula pukul 9 pagi, semua calon boleh menyerahkan kertas penamaan sebelum keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengenai status calon layak bertanding.
PRU15 menjadi tumpuan kerana menjadi pilihan raya umum (PRU) yang paling sengit dalam sejarah negara kerana sekurang-kurangnya menyaksikan pertembungan empat penjuru atau lebih dalam kalangan calon dan parti bertanding.
Malah drama politik tidak kesudahan selepas pembubaran tarikh Parlimen pada 10 Oktober lalu dijangka menghangatkan suasana hari penamaan calon.
Antaranya kekecewaan muka lama tidak dicalonkan oleh parti bakal mencetuskan drama baharu di PPC sama ada mereka benar-benar muncul menyerahkan borang pencalonan atau sekadar gimik.
Sebelum ini, penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan oleh Barisan Nasional (BN) mengesahkan bertanding PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan beliau dikatakan mahu menyerahkan borang pencalonan pada hari ini.
Meskipun banyak parti mengetengahkan muka-muka baharu, tetapi masih terdapat muka-muka lama termasuklah mereka yang pernah tewas ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Antaranya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (UMNO), Liew Chin Tong (DAP) dan Datuk Marzuki Yahya (Pejuang).
Malah PRU15 menampilkan kemunculan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PRU15 apabila mereka masing-masing akan mempertahankan kerusi masing-masing.
Begitu juga tiga pemimpin yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mempertahankan kerusinya di Parlimen Bera dalam PRU ini.
Bagi calon veteran pula, Dr. Mahathir berusia 97 tahun dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li (85 tahun) sekali lagi mempertaruhkan diri dalam PRU kali ini.
PRU15 juga unik apabila julung kalinya enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen berbanding 14 PRU sebelum ini dilakukan bersama kecuali Sarawak.
Hanya Perlis, Perlis dan Pahang yang membubarkan DUN manakala enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak berbuat demikian. – UTUSAN