BENTONG: Kerusi Parlimen Bentong bakal menyaksikan saingan lima penjuru khususnya antara calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Liow Tiong Lai dan calon Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara.
Selain dua calon popular itu, Parlimen Bentong turut menyaksikan penampilan semula penyandang, Wong Tack yang bertanding calon Bebas, Datuk Roslan Hassan mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang lagi calon Bebas, Achik Khalil.
Senarai nama bertanding di peringkat Parlimen tersebut diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bentong, Mohd. Khuzaidi Harun.
Kerusi Parlimen P.089 Bentong antara kerusi panas di negeri ini bagi merebut pengaruh dan sokongan pengundi Cina yang merupakan penyokong parti DAP dan MCA.
Ia lebih ‘panas’ apabila Wong Tack bertanding Bebas selepas kecewa tidak dicalonkan semula DAP di situ.
PRU15 ini juga menyaksikan penampilan semula Tiong Lai yang sebelum ini menang kerusi Parlimen Bentong selama empat penggal sejak 1999 sebelum tewas dalam PRU14 lalu di tangan DAP. – UTUSAN