GOMBAK: Kehadiran tiga nama besar di Parlimen Gombak menjadikan saingan lima penjuru di kerusi berkenaan sengit dan calon-calon terlibat termasuk penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mengambil mudah cabaran dihadapi.
Mohamed Azmin berkata, beliau percaya pengundi kini semakin matang membuat keputusan memilih pemimpin.
Ketua Penerangan PN itu juga yakin dengan sokongan pengundi terhadapnya untuk kekal mempertahan kerusi itu namun dia tetap perlu bekerja keras bagi memastikan visi dan misi Perikatan Nasional (PN) membangunkan kawasan tersebut dapat dilaksanakan.
“Sebagai penyandang, kita punya kelebihan. Tetapi pengundi sekarang sudah matang. Mereka melihat bagaimana wakil kawasan bekerja. Saya yakin telah melakukan sedaya upaya membangunkan Gombak.
“Kita dapat lihat sendiri. Saya sudah memberi khidmat terbaik dari pelbagai aspek termasuk perumahan, tempat ibadat, kemakmuran serta ekonomi khususnya. Tetapi saya tidak boleh ambil mudah. Kena terus kerja keras. Pengundi mahu calon yang bersih, berupaya dan kuat untuk Gombak,” katanya selepas proses penamaan calon kerusi itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, semalam.
Kerusi itu menyaksikan Mohamed Azmin berdepan saingan lima penjuru antara ‘anak didiknya’, Datuk Seri Amirudin Shari mewakili Pakatan Harapan (PH) selain dicabar calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir (Gerakan Tanah Air) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, merampas kerusi daripada penyandang bukan satu kerja mudah namun percaya PH mempunyai peluang baik terutama melihat kepada sentimen sokongan terhadap pakatan itu.
“Saya juga bukan orang baharu. Sudah mengambil alih pimpinan Selangor dan mendengar pandangan penduduk Gombak. Saya menyelesaikan isu-isu setempat dan mesyarakat.
“Cabaran itu pasti ada. Pesaing politik semua berpengalaman. Tetapi saya percaya sokongan dan suara hati hati penduduk di sini. Kerusi ini bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah,” katanya.
Sementara itu, Megat Zulkarnain ketika ditemui percaya 70 peratus pengundi sudah membuat keputusan tetapi bagaimana setiap calon melaksanakan tanggungjawab dan kempen itu bakal menentukan penyandangnya.
“Bukan satu perjalanan mudah. Saya juga tak mahu terlalu yakin. Tetapi saya tegaskan, ini bukan satu misi mustahil. BN pernah menakluk Gombak dan tidak mustahil, akan kembali ke sini.
“Saya bersaing dengan mereka yang punya kekuatan dari segi agensi dan kewangan. Banyak juga peruntukan yang tiba-tiba turun di Gombak sehari dua ini. Rakyat boleh menilai, sesuatu yang di saat akhir diberi tumpuan. Adakah itu satu kerja di saat akhir atau berjadual?” katanya. – UTUSAN